BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 21 Oktober 2010

tarian tradisional

Ahad, 26 September 2010

KAUM CINA-205091






KAUM CINA

Masyarakat cina di Malaysia terdiri daripada beberapa suku dialek.Terdapat enam kumpulan dialek utama iaitu Hakka,Kantonis,Teochew,Hainan,dan Fuzhou(Hokchiu).Sandakan pernah bergelar “Hong Kong Kecil” kerana bandar itu dijadikan tempat tinggal kedua bagi kebanyakan pendatang dari Guangdong.Maka,secara amnya terdapat tiga kumpulan sub-linguistik orang cina Malaysia.Justeru itu,masyarakat cina mengamalkan pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang dalam kehidupan seharian mereka.

Dari aspek perkahwinan,masyarakat cina akan merancang dan mengatur sesuatu perkahwinan dengan sebaik-baiknya.Mengikut kepercayaan mereka,pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah.Terdapat dua bentuk perkahwinan masyarakat cina iaitu eksplisit dan implisit.Pada asasnya,adat resam perkahwinan mereka merangkumi beberapa peringkat.Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang diingini.Hal ini kerana mereka terlalu mengambil berat tentang nama,keturunan,peribadi,watak dan tingkah laku.Seorang wakil dihantar ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan.Segala ketetapan yang telah dipersetujui dimaklumkan kepada ibu bapa pihak lelaki.Hari pertunangan pula dilakukan berdasarkan kalender cina.Dalam upacara ini,khidmat tukang tilik digunakan untuk menetapkan tarikh perkahwinan berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-su.Hari perkahwinan diadakan setelah bertunang selama setahun atau mengikut tempoh yang ditetapkanAkhir sekali,mereka akan menandatangani dua pucuk surat iaitu Keat Foon Chung Su sebagai bukti perkahwinan mereka.

Di samping itu,pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita cina semasa mengandung dan selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir tidak ditimpa kejadian buruk.Sebagai contoh,wanita mengandung dilarang melakukan kerja-kerja memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan.Mereka juga terpaksa berpantang selama 40 hari selepas melahirkan anak.Seperti masyarakat melayu,mereka turut mengadakan kenduri apabila bayi tersebut mencapai umur sebulan.Masyarakat cina juga mengamalkan adat mencukur rambut bayi kerana mereka menganggap rambut bayi yang baru lahir adalah rambut sementara.

Masyarakat cina berpegang teguh kepada adat resam yang berkaitan dengan soal-soal kematian.Apabila berlaku kematian,mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai tanda penghormatan terakhir kepada si mati.Mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik.Mereka akan mengupah lebih ramai orang untuk menangisi si mati.Semasa mengiringi mayat,pelbagai jenis lagu dimainkan.Selepas upacara kematian,ahli keluarga menjalani adat berkabung.Pakaian berwarna hitam akan dipakai untuk beberapa hari sehingga hari perkabungan tamat.

Perayaan Tahun Baru Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat cina bagi menandakan kedatangan tahun baru menurut kalender mereka.Orang cina mempercayai bahawa terdapat 12 binatang yang menaungi kalender mereka.Semua ahli keluarga berkumpul untuk makan bersama pada malam Tahun Baru.Buah limau mandarin dan kuih bakul turut menjadi kemestian bagi merayakan Tahun Baru Cina.Perayaan penutup bagi Tahun Baru Cina adalah perayaan Chap Goh Meh.

Pada asalnya,busana kaum cina berlapis-lapis,penuh dengan sulaman benang emas dan sutera.Namun,ia masih boleh dilihat pada masa kini walaupun telah diubahsuai.Jubah labuh,Cheongsam,Baju Shanghai dan Samfoo masih kekal dipakai dalam upacara majlis.Kebanyakannya dihasilkan dari negara China dengan menggunakan fabrik sutera dan broked yang berwarna terang dengan ragam hias benang emas dan sutera.

Dalam aspek pemakanan pula,masyarakat cina mempunyai pelbagai jenis makanan.Salah satu daripadanya adalah kuih bulan.Kuih bulan merupakan sejenis kuih cina yang sering dimakan sewaktu perayaan pertengahan musim luruh.Kuih tersebut dibuat daripada adunan manis dan memiliki inti biji buah teratai di tengahnya.Selain itu,Gan Pan Mian juga merupakan makanan masyarakat cina.Nama lainnya ialah Kompua.Ia adalah sejenis mee bagi masyarakat Foochow.Ding Bian Hu merupakan makanan orang Foochow yang biasanya dimakan semasa sarapan pagi dan lewat malam.

Tarian naga adalah satu bentuk tarian dan persembahan tradisional dalam budaya cina.Tarian ini sering dipersembahkan pada musim perayaan.Masyarakat cina menganggap bahawa naga mewakili kekuatan yang boleh menghilangan nasib buruk dan mencegah jenayah.Gerakan-gerakan dalam persembahan ini melambangkan peranan naga yang menunjukkan kuasa dan maruah.Tarian singa juga terdapat dalam adat warisan masyarakat cina.Dua tarian singa yang amat terkenal ialah “Tarian Singa Utara” dan “Tarian Singa Selatan”.

Rabu, 22 September 2010

MINANGKABAU-205201




ADAT DAN BUDAYA MASYARAKAT MINANGKABAU

Orang Minangkabau merupakan penduduk asal kawasan yang kini dikenali sebagai Sumatera Barat di Indonesia. Pada permulaan abad ke-14, masyarakat Minangkabau tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Selepas itu berlakulah pernikahan antara orang Minangkabau dengan penduduk tempatan dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda. Suku Biduanda ini merupakan pewaris asal Negeri Sembilan. Pemimpin hanya dipilih dari suku Biduanda ini. Para pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil ‘Penghulu’ dan kemudiannya dipanggil ‘Undang’ asalnya daripada suku Biduanda dan seterusnya wujud institusi Yang di-Pertuan Besar di Negeri Sembilan. Minangkabau adalah gabungan daripada perkataan ‘Minang’ yang bermaksud ‘Menang’ dan ‘Kabau’ bermaksud ‘Kerbau’. Gabungan perkataan ini diperoleh daripada peristiwa perselisihan faham antara kerajaan Minangkabau dengan seorang Putera dari kerajaan Jawa yang meminta pengakuan kekuasaan di Tanah Melayu.Oleh itu, bagi mengelak daripada berperang masyarakat Minangkabau mencadangkan pertandingan beradu kerbau. Putera dari Jwa tersebut bersetuju dan menonjolkan seekor kerbau yang besar dan ganas. Masyarakat Minangkabau pula hanya menonjolkan seekor anak kerbau yang lapar, tetapi ditajamkan tanduknya. Semasa bertanding si anak kerbau tidak sengaja merodok tanduknya ke perut kerbau yang besar dan ganas itu untuk mencari puting susu bagi menghilangkan kelaparannya. Malangnya, kerbau yang besar dan ganas itu mati kerana tertusuk tanduk si anak kerbau tersebut. Maka masyarakat Minangkabau telah berjaya menyelesaikan perselisihan tersebut secara aman.

Masyarakat Minangkabau merupakan masyarakat Matrilineal yang terbesar di dunia. Adat ini menyebabkan kaum lelaki Minangkabau merantau untuk mencari ilmu dan kemewahan melalui perdagangan. Kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh tahun selalunya akan meninggalkan rumah mereka untuk tinggal di surau yang mana mereka akan diajar dengan ilmu agama dan adat Minangkabau. Apabila remaja pula mereka digalakkan untuk meninggalkan kampung halaman untuk mencari pengalaman di dunia luar agar mereka dapat menjadi seorang yang lebih matang dan bertanggungjawab kepada keluarga dan nagari (kampung halaman).

Masyarakat Minangkabau umumnya beragama Islam. Oleh itu, majlis pernikahan bagi masyarakat ini dilakukan mengikut syariat Islam dan adat mereka yang tersendiri. Syarat-syarat perkahwinan bagi masyarakat Minangkabau adalah kedua calon mesti beragama Islam, tidak sedarah/tidak berasal daripada suku yang sama(kecuali persukuan itu berasal dari negeri/luhak yang lain), saling menghormati antara satu sama lain dan keluarga kedua belah pihak serta calon suami (maripulai) harus mempunyai sumber pendapatan. Perkahwinan yang tidak memenuhi syarat di atas dianggap perkahwinan sumbang. Selain itu, masih ada peraturan tertentu dan upacara adat agama Islamyang harus dipatuhi iaitu majlis jopuik manjopuik, pinang meminang, batuko tando, akad nikah, baralek gadang, jalangmenjalang, dan sebagainya.

Disamping itu, dalam upacara kematian, masyarakat Minangkabau mengutamakan perkara-perkara wajib menurut syariat Islam, seperti pengurusan jenazah. Seterusnya, akan diadakan majlis memperingati Allahyarham seperti manujuah hari(majlis memperingati tujuh hari), duo puluah hari (majlis memperingati hari ke empat puluh dan akhir sekali manyaratuih hari (majlis memperingati hari ke seratus).

Bahasa Minangkabau mempunyai perkataan yang serupa dengan bahasa Melayu, tetapi berbeza dari segi sebutan dan tatabahasa. Contohnya:

“Sadang kayu di rimbo tok samo tinggi, kok kunun manusia”

Maksudnya : Sedangkan pohon di hutan tidak sama tinggi, apatah lagi manusia.

Masyarakat Minangkabau menyukai masakan pedas dan banyak menggunakan santan kelapa. Contohnya, rendang dan dendeng balado. Rendang mempunyai falsafah tersendiri bagi masyarakat Minangkabau iaitu musyawarah, mewakili empat bahan utamanya iaitu daging lembu mewakili para pemimpin suku adat, kelapa mewakili kaum intelektual, lada mewakili alim ulama yang tegas untuk mengajar hokum-hukum agama dan pemasak mewakili keseluruhan masyarakat Minangkabau. Seterusnya, dendeng balado pula merupakan hirisn tipis daging sapi yang dikeringkan lalu digoreng sehingga kering.

Di samping itu, terdapat juga tarian piring dan randai sebagai hiburan dalam kehidupan masyarakat Minangkabau. Tarian piring berasal daripada Sumatera Barat. Tarian ini menggambarkan rasa kegembiraan dan syukurmasyarakat Minang ketika kedatangan musim panas. Para muda-mudi akan mengayunkan gerak langkah dan menunjukkan kebolehan mereka dengan memainkan piring yang ada di tangan mereka. Kebiasaannya, di Malaysia tarian piring dipersembahkan di hadapan mempelai di luar rumah ketika majlis perkahwinan terutamanya bagi keluarga berada, bangsawan dan hartawan di sesebuah kampung. Randai pula merupakan teater rakyat tradisional Minangkabau iaitu melibatkan muzik, nyanyian, tarian, drama dan seni mempertahanka diri iaitu silat. Kebiasaannya, randai dipersembahkan ketika menyabut perayaan tradisional dan terselit pelbagai cerita di dalamnya dalam satu masa. Cerita-cerita yang dikisahkan disampaikan mealui nyanyian dan lakonan berdasarkan lagenda-lagenda Minangkabau dan cerita rakyat. Randai dipersembahkan oleh kaum lelaki, namun setelah 1960-an, perempuan juga telah menyertai persembahan ini.

Selain itu, masyarakat Minangkabau juga memiliki alat muzik tradisional khas iaitu Saluang. Alat muzik ini diperbuat daripada buluh nipis atau talang. Alat ini mempunyai empt lubang dan panjangny lebih kurang 40-60 cm dan berdiameter di antara 3-4 cm. Saluang dimainkan seperti seruling di mana pemainnya perlu meniup dam menarik nafas untuk mengalunkan muzik.

Akhir sekali budaya Minangkabau terserlah indah pada busana tradisional Negeri Sembilan.Sejarah asal usul kaum Minang di Negeri Sembilan yang berhijrah dari Pagar Ruyung pada kurun ke-15 iaitu pada zaman kesultanan Melayu Melaka memungkinkan adat istiadat dan budaya berpakaian dari Sumatera Barat kekal dalam masyarakat Negeri Sembilan sehingga kini. Pakaian lelaki menyerupai Baju Sikap yang dipakai sebagai sut berlima mengandungi baju atau jaket sederhana labuh, baju di dalam, berseluar dipadan dengan samping dan dihias pua dengan tengkolok. Kaum wanita pula berbaju Kurung Teluk Belanga dan berkebaya labuh dipadan pula dengan kain sarung. Wanita bangsawan yang berketurunan Minangkabau pula, pakaiannya dari kain baldu bersulam benang emas bertatahkan labuci. Sarungnya pula dari kain songket penuh tenunan dari Pandai Sikek atau Batu Bara di Sumatera. Gambar menunjukkan si lelaki memakai pakaian adat pembesar Minangkabau atau Aceh. Bajunya berwarna hitam dihiasi sulaman benang emas di leher dan lengan. Celana yang dipakainya pula berkaki lebar, di samping kain tenun sutera dan destar atau saluak. Si gadis pula memakai baju kurung bersulam benang emas bermotifkan buluh rebung, tekuk leher bertekat dan penutup kepala tengkuluk.

KAUM KADAZAN-205296




KADAZAN

Pengenalan

Kaum ‘kadazan-dusun’ merupakan sebuah etnik peribumi yang menetapkan di pantai barat sabah dan kawasan pendalaman sekitarnya. Kaum kadazan-dusun sebenarnya dibentuk oleh dua kaum utama Sabah iaitu ‘Kadazan’ dan ‘Dusun’ namun disebabkan persamaan bahasa, budaya dan situasi politik kaum ‘Kadazan’ dengan kaum ‘Dusun’ satu istilah baru telah terbentuk untuk menyatukan kedua-dua kaum ini iaitu ‘Kadazan-Dusun’. Kaum Kadazan-Dusun membentuk etnik terbesar di Sabah.

Terdapat pelbagai suku kaum di dalam kaum Kadazan-Dusun antaranaya ialah bisaya, bonggi, bunddu, dumpas, gana ,garo, idaan, kedayan, kimarang dan kuijau. Oleh yang demikian kerana kaum Kadazan-dusun merupakan kaum yang kaya dengan pelbagai budaya dan adat istiadat yang merupakan warisan secara turun-turun oleh nenek moyang mereka dan melambangkan keindahan adat dan budaya mereka sebagai kaum terbesar di Sabah.

BUDAYA MASYARAKAT KADAZAN-DUSUN

Pakaian tradisional

Kadazan-dusun terkenal dengan kaum yang mempunyai banyak sub-etnik yang kaya dengan budaya mereka sendiri. Oleh itu, setiap kaum dalam kadazan-dusun mempunyai perbezaannya pakaian tradisionalnya yang tersendiri. Contohnya pakaian tradisi bagi etnik dusun bundu di Ranau dan Liwan di Tambunan adalah berbeza dengan pakaian tradisi bagi etnik Lotud di Tuaran dan juga Kimaragang di Kota Marudu. Setiap etnik dalam kaum kadazan-dusun ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Pakaian ini biasanya dipakai dimusim perayaan seperti pesta kaamatan dan juga upacara khas seperti perkahwinan. Kebiasaannya para gadis dari kaum Kadazandusun akan memperagakan jenis pakaian tradisi ini apabila adanya pertandingan unduk ngadau kaamatan di peringkat negeri Sabah. Antara perbezaan pakaian suku kaum kadazan-dusun ialah seperti berikut:

Suku kaum rungus kudat

Kaum rungus merupakan kaum kadazan dusun yang tinggal di kawasan kudat. Kaum ini mempunyai perbezaan cirri-ciri pakaian mereka antaranya ciri-ciri pakaian tradisi kaum rungus di kudat ialah mempunyai blaus berwarna hitam bercorak yang dipakai aras dada ke pinggang dipanggil ‘Banat Tondu’. Terdapat juga sarong yang dipanggil ‘tapi rinugading’ selalunyadi pakai hingga paras lutut sahaja. Kain hitam yang berukuran lebar 28-30 sm pula akan disarungkan keleher hingga ke bahu dan berjuntai ke lengan dan terbentuklah pakaian berlengan. Baju kemeja berlengan pendek atau panjang hanya dikhususkan untuk golongan lelaki sahaja terdapat juga ‘siga’ untuk mengemaskan pakaian tersebut.

Selain itu, barangan kemas pula menjadi pelengkap pakaian tradisional kaum kudat,contohnya pemakaian rantai leher atau dipanggil ‘sanadang’ yang diperbuat daripada kulit kerang atau ‘kima’ berwarna putih berkilauan dan tulang haiwan. Terdapat juga sanggul atau dipanggil ‘titimbok’ oleh masyarakat rungus yang dipakaikan kepada pemakai pakaian tersebut. Berabun dan Giring pula merupakan barang kemas antic yang diperbuat daripadalogam emas berbentuk loceng turut melengkapkan pemakaian tersebut. Pemakaian barang kemas adalah satu kemestian bagi kaum dalam kadazan dusun,termasuk dengan kaum papar juga kerana mereka mengenakan barang kemas terhadap pakaian yang dipakai oleh mereka.

Suku kaum kadazan dusun penampang

Merupakan kaum utama dalam kaum kadazan dusun.suku kaum ini tinggal di kawasan penampang di pantai barat sabah. Suku kaum kadazan penampang juga mempunyai ciri-ciri pakaian tradisi mereka yang tersendiri menjadikan mereka salah satu daripada suku kaum yang unik dalam kaum kadazan dusun.Antara cirri pakaian tradisional mereka ialah mempunyai blaus tidak berlengan yang berwarna hitam atau baldu untuk kaum wanita mereka dipanggil ‘sinuangga’. Blaus berlengan pendek,berwarna hitam atau ‘baldu’ pula dikhususkan untuk wanita pertengahan umur atau ‘sinompukung’,manakala blaus berlengan pula digunakan oleh wanita golongan tua terutama ‘bobohizan’(kinoigan), untuk golongan lelaki pula kemeja berwarna hitam baldu dan berlengan panjang akan dipakai dan pemakaian siga yang mempunyai pelbagai pelbagai corak yang tersendiri. Pemakaian biasanya akan dihiasi dengan ‘renda’ atau siling utama keemasan pelbagai corak.

Kadazan dusun papar

Merupakan satu daripada kaum dalam masyarakat kadazan dusun dan ciri-ciri pakaian tradisi masyarakat ini ialah memakai blaus baldu hitam berlengan panjang ataupun dipanggil ‘siya’ oleh penduduk tempatan. Pemakaian baju di dalam yang berwarna putih atau ‘blaus putih’ pula perlu dilakukan untuk menampakkan perbezaan pakaian kaum ini. Kaum papar juga memakai sarung atau dipanggil ‘gonob’ berbeza dengan kaum rungus.terdapat juga pemakaian siga khas untuk kaum lelaki dan pemakaian baju kemeja baldu hitam berlengan panjang. Bagi kaum wanita ‘siung’ digunakan untuk menentukan jenis pemakaian contohnya pemakaian berlulu binatang (burung) yang berwarna untuk wanita bujang dan pemakaian berbunga-bungaan untuk golongan wanita yang sudah berkahwin.

Perhiasan pakaian bagi kaum papar terdiri daripada butang berwarna keemasan ‘kubamban’ sebanyak lapan pasang didada dan ‘siling’ dan labuci yang dijahit di lengan blaus juga terdapat tenunan yang dipanggil ‘rinanakit’ bercorak cetusan bintang dijahit secara menegak dan melintang pada sarong (gonop)

Bahasa pengantar masyarakat kadazan dusun

Bahasa kadazan dusun ialah satu daripada 50 atau lebih bahasa dan lebih daripada 80 dielet di sabah. Bahasa kadazan dusun dituturkan oleh kebanyakan populasi di Sabah terutamanya di kawasan pendalaman Kota Kinabalu,Penampang,Ranau,Keningau dan Tambunan.walaupun kadazan dusun terdiri daripada pelbagai kaum yang disatukan tetapi bahasa pengantar yang digunakan oleh kaum-kaum ini adalah sama dan hanya mempunyai sedikit perbezaan seperti bahasa melayu an bahasa Indonesia.Bahasa ini digunakan oleh kaum kadazan dusun dalam melakukan aktiviti harian seperti bertani,berdagang,berniaga, dan lain-lain.

Contoh:

Aku dalam bahasa kadazan dusun disebut oku.

Upacara Humabot

Merupakan upacara yang telah secara turun temurun dilakukan oleh kaum kadazan-dusun apabila mereka membina rumah baru. Upacara ini melibatkan seorang bobohizan atau dukun yang dipanggil oleh sesebuah keluarga yang ingin mendirikan rumah baru untuk menjampi tapak rumah tersebut. Bobohizan akan membaza mantera dan renjis air untuk menghalau semangat dan roh-roh jahat masyarakat kadazan dusun juga percaya akan ‘kopizo’ tiang akan dipacakkan jika tuan rumah termimpi baik.tetapi jika sebaliknya maka tapak tiang akan dialihkan sedikit dari tapak asal.

Sesudah sesebuah rumah itu didirikan bobohizan akan dipanggil lagi dan kali ini upacara ‘momodu’ atau memandikan rumah akan dijalankan. Bobohizan akan membaca mantera sambil kaum lelaki akan menyalakan api pada buluh yang hujungnya dibungkus dengan getah (sikalap) dan membawa obor ini mengigilingi rangka-rangka atap rumah sambil bertempik sorak atau ‘memangkis’. Ini bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat pembawa malapetaka kepada rumah mereka.

Jumaat, 17 September 2010

KAUM IBAN-205269





PENGENALAN

Negara Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian dan keunikan bangsa dan etniknya. Walaupun mempunyai rakyat berlainan bangsa namun Malaysia tidak menghadapi masalah berkenaan perbezaan tersebut. Hal ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang penuh warna-warni dan keunikan tersendiri. Kaum Iban merupakan salah satu kaum yang terdapat di Malaysia. Masyarakat Iban berasal daripada Sarawak dan merupakan suku kaum terbesar di Sarawak. Kaum Iban pula terbahagi kepada beberapa suku kaum, contohnya, Balau, sembayau, lemanak, dan lain-lain. Pada zaman dahulu kaum Iban sangat terkenal sebagai pejuang yang handal dan berani dalam pemburuan kepala dan perlanunan. Kaum Iban lazimnya tinggal di kawasan pendalaman berbanding kawasan Bandar. Hal ini demikian kerana kebanyakan mereka mengamalkan aktiviti ekonomi tradisional, seperti bercucuk tanam, menternak binatang, dan memungut hasil hutan. Kaum Iban mempunyai adat resam yang unik dan mereka memegang kuat kepada adat tersebut dalam kehidupan mereka. Dari sudut agama, mereka menyembah tuhan yang dikenali sebagai singalang burung dan tuhan burung peperangan. Namun kini kebanyakan mereka sudah menganut agama Kristian

PANTANG LARANG SEWAKTU MENGANDUNG

Kaum Iban amat menekankan pentang larang sewaktu mengandung dan selepas bersalin. Pantang larang sewaktu mengandung bukan sahaja dikenakan kepada wanita yang sedang mengandung malah si suami turut dikenakan pantang larang, contohnya, mereka tidak dibenarkan memotong pokok yang menjalar di atas tanah kerana dikhuatiri berlakunya pendarahan berterusan semasa si ibu melahirkan. Mereka juga dilarang memecahkan telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi cacat. Selain itu mereka juga dilarang membawa kura-kura ke bilik kerana dikhuatiri bayi tersangkut semasa dilahirkan. Bakal ibu juga dilarang menuang minyak di tapak tangan untuk disapu ke rambut kerana dikhuatiri bayi yang akan lahir daripada menanah.

ADAT SELEPAS BERSALIN

Sebaik sahaja bayi dilahirkan ahli keluarga akan memalu buluh yang dikenali sebagai potong oleh masyarakat Iban sebagai tanda bayi telah dilahirkan dan untuk memanggil jiran tetangga. Namun selaras arus kemodenan ada keluarga yang menggunakan senapang untuk menggantikan potong.

Sebaik sahaja bayi dibersihkan bayi akan dibalut atau dibedung menggunakan kain khas yang dipanggil sebagai kain pua kumbu atau kain yang di sulam.

Si ibu akan diurut oleh bidan, bertujuan menghilangkan kesakitan selepas bersalin. Seterusnya ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu dibalut dengan kekalung iaitu sejenis kain yang di perbuat daripada kulit kayu akan di sapu pada badan si ibu.

Sepanjang tempoh berpantang si ibu perlu menjaga pemakanan selama 30 hari dan berdiang selama 40 hari. Semasa berpantang makanan, si ibu hanya dibenarkan memakan nasi bersama ikan kering atau ikan salai dan pucuk paku atau buah pulur. Makanan tersebut pula perlu dicampur dengan air rebusan halia bagi memanaskan badan si ibu.

Berdiang atau bersalai ialah duduk berhampiran unggun api. Unggun api perlu menggunakan kayu api yang dikhaskan, iaitu kayu malam dan kayu langsat. Hal ini demikian kerana kayu tersebut mempunyai khasiat tersendiri. Sepanjang tempoh 40 hari ini, si ibu perlu mencalitkan kapur pada tiang rumah sebagai penanda hari. Tujuan bersalai adalah menghilangkan penyakit ibu yang baru bersalin.

ADAT PEMILIHAN NAMA KEPADA BAYI

Pemilihan nama amat penting bagi kaum Iban. Kerana mereka berpendapat nama yang baik akan memberi kesan yang baik kepada masa depan bayi tersebut. Nama timbangan terlebih dahulu di berikan sebelum nama rasmi. Nama rasmi di berikan berdasarkan nama orang terdahulu yang hebat dan berjasa. Agar, kelak bayi tersebut akan menjadi orang yang berguna. Cara pemilihan nama bagi kaum Iban merupakan adat yang sangat unik. Dua nama terbaik akan dipilih dan diletakkan di atas dua keping papan yang berlainan. Seterusnya gumpalan nasi diletakkan di atas papan tersebut. Seekor ayam jantan akan dilepaskan supaya memagut salah satu gumpalan nasi. Hal ini bermakna nama yang terdapat pada gumpalan nasi yang dipagut oleh ayam akan menjadi pilihan untuk nama bayi.

PERAYAAN GAWAI

Kaum iban menyambut perayaan yang di kenali sebagai perayaan hari Gawai. Perayaan ini disambut setiap tahun iaitu pada 1 dan 2 jun. Perayaan ini disambut sebagai tanda berakhirnya musim menuai padi. Perayaan ini dianggap bermula apabila masyarakat Iban berkumpul di serambi umum rumah panjang di mana terletaknya ranyai iaitu pokok istiadat. Pada hari perayaan, kaum Iban akan mengenakan pakaian tradisional yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun-temurun. Hari gawai disambut dengan meriah di kampung-kampung mahupun bandar-bandar. Pada hari tersebut mereka akan berkumpul dan bersukaria di samping pelbagai makanan tradisional. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang perayaan, contohnya, persembahan tari-menari, meminum arak beras atau dikenali sebagai tuak dan lain-lain aktiviti yang menghiburkan. Pada perayaan tersebut juga kaum Iban akan menyembahkan makanan dan arak kepada dewa kekayaan sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih atas hasil tuaian yang baik. Upacara penyembahan ini perlu mengikut adat iaitu wakil masyarakat Iban akan membacakan mantera dan seterusnya darah ayam akan direnjiskan pada persembahan tersebut. Salah satu acara yang paling dinanti-nantikan pada hari perayaan adalah ngajat lesung. Ngajat lesung ini adalah sejenis tarian, tetapi ia bukan sejenis tarian biasa, tetapi para penari akan bersaing menunjukkan kehebatan dengan mengangkat lesung penumbuk padi dengan menggunakan gigi. Perayaan ini akan berakhir apabila ranyai dibuang.

KESIMPULAN

Kaum Iban amat mementingkan adat dan budaya. Hal ini demikian jelas dilihat setiap upacara berkaitan adat dan budaya disambut dengan meriah tidak mengira luar bandar mahupun bandar malah dari segi umur juga tidak mengira tua atau muda. Hasil daripada pegangan tersebut adat dan budaya kaum Iban masih dapat bertahan sehingga sekarang dan tidak lapuk ditelan zaman. Kaum lain juga harus meneruskan adat dan budaya nenek moyang mereka agar generasi akan datang masih dapat melihat dan merasakan sendiri keunikan adat dan budaya setiap kaum. Sekiranya adat dan budaya ini tidak diteruskan besar kemungkinan generasi akan datang akan mengenali adat dan budaya melalui muzium dan bahan bacaan sahaja. Hal ini bukan sahaja merugikan anak bangsa malah turut merugikan Negara. Oleh itu semua pihak harus bergandingan dalam mendekatkan masyarakat dengan adat dan budaya masing-masing.

KAUM BAJAU-205084




ETNIK BAJAU

Masyarakat Bajau merupakan masyarakat pribumi Sabah dan dari segi populasinya adalah kedua terbesar selepas kaum kadazan.Terdapat pelbagai suku kaum dalam kalangan masyarakat bajau seperti Ilanun,sulu dan sebagainya.Kebanyakkan masyarakat bajau mendiami kawasan Semporna,dan Kota Belud.Dari segi sejarahnya,kaum lelaki dalam kalangan masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir.Seperti masyarakat etnik yang lain masyarakat Bajau juga terkenal dengan adat dan budaya mereka yang pelbagai dan unik.

Dari segi perkahwinan,kelahiran,dan,kematian masyarakat Bajau mempunyai adat mereka yang tersendiri.Bagi adat perkahwinan,majlis dibuat sebelum hari prkahwinan.Keluarga yang berada mengadakan majlis tujuh hari sebelumnya,tiga hari bagi keluarga sederhana dan sehari bagi keluarga miskin.Sepanjang hari tersebut pada sebelah malamnya majlis titik diadakan iaitu memainkan alat muzik di tempat kediaman kedua- dua belah pihak.Majlis ini mungkin berlangsung hingga larut malam,kemudian diikuti dengan tarian tradisional.Sehari sebelum perkahwinan,bakal pengantin lelaki dan perempuan akan didandan oleh beberapa orang mak andam.Pengantin lelaki yang berpakaian serba kuning lengkap akan diusung dengan tandu atau menunggang kuda ketika menuju ke kediaman pengantin perempuan.Beberapa das tembakan akan dilepaskan sebagai tanda hormat akan ketibaan rombongan pengantin lelaki di halaman rumah pengantin perempuan.Setelah tiba waktunya,pengantin lelaki mengambil wuduk dan majlis akad nikah dilangsungkan.Selepas itu,pengantin lelaki akan dibawa masuk ke bilik pengantin perempuan bagi upacara pembatalan air sembahyang.Setelah pengantin lelaki membatalkan air sembahyang dengan menyentuh dahi isterinya,kedua dua mempelai itu disandingkan.

Adat kelahiran masyarakat Bajau pula ialah sewaktu mengandung,terdapat beberapa adat yang dijalankan antaranya ialah seperti berpantang.Bagi mengelakkan bahaya sewaktu mengandung,wanita tersebut perlu menjalani beberapa pantang larang tertentu.Ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dirinya serta kandungan,di samping memudahkan proses kelahiran kelak.Antara pantang larang tersebut ialah,wanita hamil tidak boleh berjalan malam kerana dikhuatiri akan diganggu oleh makhluk halus,wanita hamil juga tidak boleh meminum atau mandi dengan air hujan yang jatuh dari bumbung kerana di bimbangi tembuni akan terus mati terutama bagi mereka yang mengandung sulung.Semasa bersalin pula,apabila sudah tiba masanya,bidan akan segera dipanggil dan peralatan tertentu turut disediakan.Adakalanya di bawah rumah tersebut,duri dan benda-benda tajam akan di letakkan bagi mengelakkan gangguan makhluk halus terhadap si ibu dan bayi.Selepas kelahiran,si ibu akan sekali lagi menjalani beberapa pantang larang.Antaranya ialah,si ibu harus memakai sarung yang berwarna gelap,biasanya hitam,kerana warna yang terang tidak baik untuk kesihatan mata bayi.

Bagi adat kematian pula,semasa kematian apabila seseorang itu meninggal dunia,doa akan dibaca dan mayatnya akan ditutup dengan kain.Pada masa itu, tawak-tawak patai atau pukulan gong akan dibunyikan sebagai tanda seseorang itu telah meninggal dunia.Mengikut adat Bajau,mereka mesti menangisi kematian tersebut kerana ia melambangkan kesedihan mereka.Seterusnya, mayat tersebut akan diuruskan sepenuhnya mengikut peraturan agama islam.Semasa pengebumian,selepas disembahyangkan si mati akan di kebumikan.Adat naja-naja iaitu berjalan berulang alik di bawah keranda si mati oleh keluarga dan saudara-mara terdekat akan dilakukan.Apabila mayat hendak dikebumikan,adakalanya bersama-sama mayat tersebut disertakan beberapa biji buah pinang untuk mewakili anak cucu si mati yang masih kecil.Pinang tersebut dibungkus dalam sehelai kain putih yang sama dan diletakkan di sisi mayat.Tujuannya adalah supaya semangat mereka akan bersama si mati ke alam baqa.Seterusnya upacara keagamaan seperti yang dilakukan oleh masyarakat islam lain akan diadakan.Biasanya dari hari pertama hingga hari ketujuh selepas kematian,keluarga dan masyarakat setempat akan mengikuti beberapa pantang larang.Antaranya ialah,dari hari pertama sehingga hari ketujuh,rumah si mati tidak boleh dicuci.

Masyarakat Bajau juga terdapat kebudayaan mereka yang tersendiri,seperti makanan tradisional,tarian dan sebagainya.Dari segi makanan,terdapat pelbagai jenis makanan.Antaranya ialah kima,putu,dan Tompe atau tinompeh.Makanan tradisional kima adalah nama sejenis kerang laut dan terdapat dalam beberapa spesies,antaranya lapiran,kima bohe dan sollot-sollot iaitu bersaiz kecil dan menyelit di celah-celah permukaan batu.Kima di jadikan lauk dalam makanan tradisi Orang Bajau.Kima ini boleh dimakan mentah-mentah setelah dihiris atau di potong kecil-kecil dan dicampur dengan air limau dan lada serta rempah ratus yang lain mengikut selera seseorang.Ia juga boleh di makan bersama sayur.Selain itu,makanan tradisional putu pula adalah makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya lalu dimasak secara stim.Manakala makanan tradisional Tompe atau Tinompeh juga adalah makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya.Ia kemudiannya digoreng tanpa minyak di dalam kuali,sehingga warna kekuning-kuningan.

Budaya tarian tradisional di kalangan masyarakat Bajau antaranya ialah Tarian Limbai dan Runsai.Tarian Limbai merupakan satu tarian tradisional suku kaum bajau Kota Belud.Tarian Limbai biasanya ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak kerumah pengantin perempuan.Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai,perarakan dihentikan buat sementara.,lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin.Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin lelaki naik ke rumah untuk melakukan ijab dan kabul.Tarian Limbai diiringi oleh irama kulin tangan.Kumpulan muzik ini mengandungi enam orang pemain yang diketuai oleh seorang wanita yang memainkan kulintangan,dua orang pemukul gendang,dua orang pemaian gong dan seorang pemain bebandil.Tarian ini mengiringi anggota-anggota rombongan lelaki naik ke rumah.Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.Selain tarian Limbai,Runsai juga merupakan tarian tradisional suku kaum Bajau di Kota Belud.Runsai selalu di tarikan di majlis perkahwinan pada sebelah malam.Tarian ini memerlukan antara enam hingga lapan orang penari termasuk dua wanita.Tarian ini menjadi bertambah meriah apabila diserikan dengan kalang iaitu pantun dua kerat yang dijual dan dibeli oleh penari lelaki dan perempuan.

Bagi Pakaian tradisional suku Kaum Bajau.Berdasarkan gambar, wanita menggayakan blaus badu sampit dan kain sarung olos berangkit, perhiasan leher mandapun dan perhiasan kepala sarempak. Lelaki Bajau menggayakan baju potongan Cekak Musang, seluar, samping dan destar.Manakala,Pasangan suku kaum Bajau menggayakan pakaian adat perkahwinan dan kebesaran. Pakaian lelaki dari kain satin berhias renda dan pakaian wanita juga dari satin yang dilengkapi dengan mandapun dan tali pinggang.

MASYARAKAT MELANAU-205172






MELANAU

Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik di Sarawak. Masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam.Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini.

KELAHIRAN
Sewaktu Mengandung

Ibu yang mengandung terikat daripada mengamalkan pantang larang. Kebanyakan larangan yang dikenakan banyak bergantung kepada faktor pemakanan seperti tidak boleh memakan buah-buahan yang berbau kuat seperti durian kerana badan akan menjadi busuk. Wanita hamil tersebut juga tidak boleh makan pucuk-pucuk paku kerana susu badan akan menjadi masam. Haiwan buruan yang dibunuh di dalam hutan tidak boleh diberikan kepada wanita hamil kerana diyakini anak dalam kandungan akan melecur seluruh badan.

Si suami juga dikehendaki menjauhi beberapa perkara. Si suami tidak boleh memotong kayu yang bertindan atau memakan ikan pari kerana dikhuatiri bibir anak akan menjadi sumbing. Si suami juga tidak boleh mengecat kerana dikhuatiri anak di dalam kandungan akan diiringi minyak. Sekiranya terdapat sebarang kematian, si
suami tidak boleh melihat kerana anak di dalam kandungan akan mendapat penyakit. Suami juga tidak boleh memotong akar temalet kerana anak akan meninggal dunia tanpa sebab. Semasa mengandung juga wanita tersebut tidak boleh ditakut-takutkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak dalam kandungan cacat ataupun gugur.

Perkahwinan

Aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda bertunang dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan.


Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis 'peramas' iaitu per-kahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk majlis ini berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu 'penyekab' dan 'berian' dan hadiah lain seperti 'adat menuga', 'adat mebin' dan 'pakan' sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga di-adakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran dan sahabat handai.Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari.
Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diada-kan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani 'adat petudui' iaitu penyerahan pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang, misal-nya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan nasi temuan.
ADAT RUMAH TANGGA
Oleh kerana perkahwinan merupakan satu institusi yang penting, terdapat beberapa peraturan dalam kehidupan mereka yang perlu diikuti oleh kedua-dua pasangan pengantin sama ada lelaki atau perempuan. Antara peraturan yang perlu diikuti oleh mereka ialah:

Setelah menjadi pasangan suami isteri, suami tidak boleh menetak bumbung rumah dengan parang kerana cara ini boleh menyebabkan hubungan renggang antara suami dan isteri.

Suami tidak boleh memerah kelapa yang sudah diparut kerana boleh menyebabkan perut isteri sakit atau memulas.

Pakaian yang dipakai semasa upacara perkahwinan tidak boleh dijahit walaupun koyak kerana boleh menyebabkan penyakit di kalangan suami isteri.

Isteri dilarang keras memarut rumbia atau menyeberangi sungai kerana akan jatuh sakit sehingga boleh menyebabkan anak di dalam kandungan keguguran.

BUDAYA MELANAU

PAKAIAN TRADISIONAL(LELAKI)

1)Pakaian lelaki Melanau dari satin berwarna gelap dipadankan dengan kain songket bunga tabur dan pakaian kepala sengkulon dari Jawa. 2)Lelaki menggayakan baju potongan moden bersamping broked oren keemasan, pinggang berikat selendang sifon berkopiah Jawa.

PAKAIAN TRADISIONAL(WANITA)

1)Wanita Melanau menggayakan baju baldu hitam dengan sarung songket Brunei tenunan Sarawak, bertali pinggang pending besar, diserikan dokoh dan perhiasan kepala kepih sanggul.2) Wanita Melanau menggayakan Baju Baban asal pakaian pengantin Melanau. Baju kurung pendek warna hitam dipadankan dengan kain songket. Di dada memakai 2 helai selendang merah dan perhiasan diri kepih dada dan kepih sanggul.